Aku Terpilih, Bukan Tersisih

Apabila ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan dan kemiskinab datang bertimpa-timpa, terdetik juga di dalam hati, “Adakah Tuhan masih sayangkan aku? Mengapa aku diuji seberat dan sekerap begini?”

Subhanallah. Tanpa disedari kita sebenarnya seolah-olah mempersoalkan kuasa Tuhan. Padahal kita cuma hamba-Nya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya layak disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucap kalimah istirja setiap kali diuji. Perlu ringan meniti di bibir tanda tidak gundah disapa musibah. Ertinya, kita mengiktiraf bahawa kita milik Allah dan hanya kepadaNya dikembalikan.

Ya, inilah kalimah yang mengingatkan kita bahawa kita ini milik Tuhan. Jadi, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sesekali menolak, apalagi “mengamuk” apabila diuji. Kita hanya hamba…

Dunia Memang Tidak Adil

Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa marah, kecewa, dipersenda dan ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita akan menjadi lebih tenang dan harmoni.

Mengapa di dunia ini tidak ada keadilan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas. Beginikah dunia? Ya, inilah kaedah Allah menguji manusia agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat baik kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan keranaNya jua. Inilah ujian iman.

Sakitnya sebuah harapan

Sebagai manusia yang tidak akan mampu mengubah aturanNya perlulah sentiasa tabah dalam menghadapi permasalahan yang sentiada mendatang. Harapan yang aku sering curahkan itu tidak menjadi, mungkin ia tidak seindah aturanNya. Aku menantikan cerita indah dariNya kelak.